CINTA RASULULLAH



CINTA RASULULLAH

oleh: Alwin Lubis

Dua kalimah syahadah adalah bukti bahawa cinta kepada Allah dan Rasulullah s.a.w. tidak terpisah. Cinta Allah itu tujuan, cinta Rasulullah itu jalan. Tidak mungkin tercapai tujuan “lailahaillallah” tanpa mengikut jalan “Muhammad Rasulullah.”
Keyakinan kita kepada Allah adalah atas curahan ilmu, didikan, bimbingan dan pimpinan Rasulullah. Justeru, Rasulullah itu manusia biasa yang sangat luar biasa. Baginda tidak dididik oleh manusia, tetapi dididik oleh Allah s.w.t.
Kata-katanya tidak pernah sia-sia melainkan terpandu segalanya oleh wahyu. Allah berfirman yang bermaksud: “Rasulullah tidak berkata melainkan wahyu Allah.” (Surah al-Najm 53: 3-4)
Jika hati mencintai kebaikan, maka butalah hati itu jika tidak mencintai Rasulullah… kerana Bagindalah insan terbaik dan paling banyak menabur kebaikan. Jika hati mencintai keindahan, maka matilah hati itu jika tidak jatuh cinta kepada keindahan Rasulullah; senyuman, sapaan, teguran, bujukan, bahkan marahnya sekalipun tetap indah.
Kita masih boleh membayangkan seorang yang pernah mengikat perutnya dengan batu bagi menahan kelaparan ketika berjihad. Baginda insan yang pernah patah giginya oleh asakan dan tusukan senjata musuh. Kenangi seorang insan yang pernah luka-luka dilontar dengan batu-batu, dilempari najis dan bangkai, diperosok ke dalam duri dan lubang, akhirnya dikepung untuk dibunuh… hanya kerana ingin menyampaikan iman dan Islam buat manusia.
Kebaikan Rasulullah bukan sahaja dinikmati oleh generasi yang hidup bersama-samanya, tetapi melampaui masa, zaman dan keadaan. Cinta Baginda turut menyentuh hati kita.
Cinta tidak semestinya bertemu. Cinta tidak semestinya bersama. Dimensi cinta ialah ukuran rasa, bukan oleh jarak yang jauh atau masa yang panjang dan pendek. Cinta merombak batasan masa, jarak dan ruang.
Inilah insan yang sewajarnya dicintai. Insan yang tidak akan lega tanpa dijanjikan keselamatan buat umatnya. Insan telah pergi menemui al-Rafiq al-A‘la (Teman daerah tinggi iaitu Allah) tanpa mewariskan sebarang harta. Bahkan menurut ahli sejarah, ketika itu lampu di rumahnya sudah kehabisan minyak…
Itulah cinta Rasulullah. Itulah yang mesti ada ada dalam jiwa agar kita berpeluang bersama-samanya di dalam syurga. Dan sewajar selalu bertanya kepada hati sendiri, “Di mana Rasulullah di hati kita?”
Di mana Rasulullah di hati kita?
Mengapa semua ini melibatkan soal hati? Ya, kerana yang paling berkuasa dalam diri manusia ialah hati. Imam al-Ghazali menegaskan bahawa hati umpama raja yang paling berkuasa dalam diri manusia. Pancaindera dan segala anggota badan bagaikan rakyat yang tunduk dan patuh kepada perintah hati.
Hati adalah tempat cinta bertakhta. Cinta itu yang mengawal hati. Jika seseorang mencintai sesuatu, seluruh tenaga, upaya dan fokus dalam hidupnya akan ditumpukan kepada apa-apa yang dicintai.
Oleh kerana itu, kita perlu berhati-hati apabila mencintai dan dicintai. Kita perlu berhati-hati memilih “siapa” dan “apa” yang hendak kita cintai.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, maksudnya: “Seseorang akan menjadi hamba kepada apa-apa yang dicintainya.” (Riwayat al-Bukhari)
Syukur, jika hati mencintai Allah, kita akan menjadi hamba kepada Allah dan seluruh hidup kita akan terfokus kepada iman dan Islam. Alangkah ruginya jika di hati kita bertakhta kejahatan dan kemungkaran kerana kita akan menjadi hamba kepada kejahatan dan kemungkaran itu.
Cinta Allah Segala Sumber
Hidup memang untuk cinta. Tetapi cinta kepada siapa? Jawabnya, cinta kepada Allah.
Firman Allah, maksudnya: “Orang yang beriman sangat cinta kepada Allah. Kalaulah orang yang melakukan kezaliman mengetahui ketika mereka melihat seksaan (pada hari kiamat) bahawa kekuatan itu semua kepunyaan Allah dan amat berat seksaan-Nya (nescaya mereka menyesal).” (Surah al-Baqarah 2: 165)
Cinta kepada Allah sumber segala kekuatan, kekayaan, ketenangan dan kejayaan.
Manusia yang bercinta dengan Allah Yang Maha Kaya (al-Ghaniy), akan mendapat kekayaan jiwa yang tiada tandingan.
Manusia yang paling kuat ialah manusia yang mencintai Allah Yang Maha Perkasa (al-Qawiy).
Manusia yang jahil dan serba tidak tahu akan menjadi insan yang bijaksana apabila berhubung cinta dengan Allah Yang Maha Mengetahui (al-‘Alim).
Manusia yang cinta kepada Allah punya kekuatan dan ketenangan untuk menghadapi kehidupan. Hidup mereka tidak akan diganggu gugat oleh rasa takut atau dukacita.
Firman Allah yang bermaksud: “Kebebasan yang diberikan kepadamu (apabila diketahui oleh mereka) lebih dekat untuk mententeramkan hati mereka, menjadikan mereka tidak berdukacita, serta menjadikan mereka reda akan apa-apa yang engkau lakukan kepada mereka. Dan (ingatlah) Allah sedia mengetahui setiap yang ada dalam hati kamu. Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.” (Surah al-Ahzab 33: 51)
Jika kemanisan hidup yang kita cari, maka rasa cinta kepada Allah mestilah disemat dalam hati.
Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai tiga perkara padanya, dia telah mendapatkan kemanisan iman, iaitu Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada selain kedua-duanya, serta mencintai dan membenci seseorang semata-mata kerana Allah. Dia hendaklah benci untuk kembali kepada kekafiran sebagaimana dia membenci jika dicampakkan ke dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Label:
[blogger]

Author Name

Formulir Kontak

Nama

Email *

Pesan *

Diberdayakan oleh Blogger.